Berita Semasa

Lagi Resort Indah Khabar

Lagi Resort Indah Khabar - tingkap berita
Lagi Resort Indah Khabar
Keadaan resort didakwa tidak terurus.

PETALING JAYA: Impian sebuah keluarga untuk menikmati percutian ala kampung di resort pilihan mereka di Janda Baik, Pahang tidak seperti diharapkan apabila villa yang ditempah sekadar indah khabar daripada rupa.

Menurut salah seorang mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Siti Hajar, pada awalnya mereka sekeluarga sepakat memilih sebuah villa di resort tersebut selepas berpuas hati melihat gambar yang dimuatnaik dalam laman Facebook lokasi percutian itu.

Wanita itu mendakwa mereka menempah villa tersebut bagi penginapan selama tiga hari dua malam pada 16 hingga 18 Oktober lalu untuk kira-kira 24 orang.

Namun, dakwanya, sebaik tiba di resort tersebut, mereka sekeluarga terkejut dan kecewa dengan keadaan resort yang tidak terurus.

“Saya telah meminta kunci villa daripada pekerja Indonesia yang bekerja di situ. Kami masuk ke dalam villa itu dan mendapati keadaannya tidak kemas sama sekali.

Lagi Resort Indah Khabar - Tingkap Berita
Cadar dan tilam juga dalam keadaan bersepah.

“Malah tilam dan cadar bersepah, selain sampah yang banyak tidak dibuang. Keadaan kolam renang juga berlumut dan berlendir sehingga air kolam tersebut bertukar menjadi hijau,” dakwanya.

Jelas Siti Hajar, memandangkan ada dalam kalangan ahli keluarga membawa bayi, mereka akhirnya membuat keputusan untuk tidak bermalam di villa tersebut.

“Nyamuk dan lalat juga banyak, mungkin disebabkan sampah sarap dan keadaan villa yang tidak terurus. Jadi kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan bermalam di villa tersebut,” dakwanya.

Susulan itu, Siti Hajar mendakwa dia telah menghubungi salah seorang kakitangan resort tersebut dan menceritakan mengenai ketidakpuasan hatinya dengan keadaan villa yang ditempah itu.

Lagi Resort Indah Khabar - Tingkap Berita
Kolam air didakwa dalam keadaan berlumut dan berlendir.

Malah, dia juga meminta agar wang deposit sebanyak RM1,508 yang telah dibayar pada 28 September lalu dikembalikan memandangkan mereka tidak bermalam di resort tersebut.

“Saya minta kakitangan resort itu untuk kembalikan semula wang deposit dan dia bersetuju untuk berbuat demikian pada 17 Oktober lalu sebelum pukul 10 pagi. Tapi tunggu punya tunggu, macam-macam alasan diberikan.

“Bila saya tanya lagi dia kata akan pulangkan semula wang itu pada 20 Oktober. Malangnya sehingga ke hari ini saya masih belum dapat wang tersebut seperti yang dijanjikan,” dakwanya.

Lebih mengejutkan, Siti Hajar mendakwa salah seorang kakitangan resort tersebut turut mencabarnya untuk menularkan insiden itu.

“Pelik juga apabila dia berani cakap macam tu. Sepatutnya pihak resort kena bersikap profesional dan menyelesaikan isu tersebut secara baik,” katanya.

Siti Hajar berkata dia turut membuat laporan polis pada 22 Oktober lalu kerana berasa tertipu dengan pihak resort tersebut.

Pada masa sama, Siti Hajar turut menasihati orang ramai yang merancang untuk bercuti ke resort tersebut supaya mengambil iktibar daripada insiden yang mereka sekeluarga lalui.

“Pergi dulu dan lihat sendiri tempat yang nak kita tempah dan jangan percaya pada gambar dan review daripada pengunjung lain,” katanya.

Source : mstar

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Lagi Resort Indah Khabar"

Post a Comment