Berita Semasa

BAM Tiada Halangan Bawa Masuk Semula Rashid Sidek, Kim Hock

BAM Tiada Halangan Bawa Masuk Semula Rashid Sidek, Kim Hock - Tingkap Berita
Rashid Sidek.

KOTA BHARU: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mempunyai halangan untuk mengguna semula khidmat dua lagenda badminton negara  Rashid Sidek dan Yap Kim Hock bagi menguatkan lagi badan induk badminton negara itu, namun tertakluk kepada persetujuan dan minat mereka selain wujud kekosongan jawatan jurulatih.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata dua bekas pemain negara itu mempunyai pengalaman luas dan kemasukan mereka ke dalam BAM mampu memperkasakan barisan kejurulatihan sedia ada.

"BAM tiada halangan sekiranya terdapat kekosongan jurulatih dalam badan induk badminton negara. Kita melihat mereka adalah tokoh lagenda yang mempunyai pengalaman yang luas dalam sukan badminton dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perlancaran Liga Remaja Kebangsaan (NJL) 2017 AirAsia-BAM Peringkat Kelantan dan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK) dengan Hotel Grand Riverview (GRV).

Hadir sama Presiden PBNK Dr Naharuddin Hashim dan Pengurus Besar Hotel GRV, Gan Yeong Shuoh.

Mohamad Norza berkata Rashid dan Kim Hock yang pernah menjadi jurulatih BAM sering  terbabit dalam melahirkan ramai pelapis baru sekali gus turut muncul sebagai nama-nama besar yang sedang beraksi kepada negara sekarang.

Mengulas mengenai Liga Remaja Kebangsaan 2017 Air-Asia-BAM, Mohamad Norza berkata Liga berkenaan akan dilaksanakan serentak di seluruh negara.

Beliau berkata setakat ini ada seramai 5,000 peserta di bawah umur 18 tahun dan daripada jumlah berkenaan seramai 17 peserta yang terpilih bakal diserap secara automatik ke dalam Akademi Badminton di Bukit Kiara.

"Di Kelantan kita melihat penyertaan begitu memberangsangkan dengan pembabitan seramai 200 peserta daripada 23 sekolah.

"Kita dapati wujud minat mendalam dalam Liga Remaja Kebangsaan dan mahukan supaya ianya berterusan di masa hadapan," katanya. - Bernama


Source : mstar


Baca Juga:
Real Madrid Kenal Pasti Tiga Pengganti Ronaldo
Berjuanglah Demi Maruah Kelantan - Bibi
Hodgson Terima Crystal Palace Kerana Tekanan
Sohaimi Ditikam Di Kepala, Bahu

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "BAM Tiada Halangan Bawa Masuk Semula Rashid Sidek, Kim Hock"

Post a Comment